Mangsa Diserang Dari Belakang, Muka Disapu Dengan Sesuatu – Saksi

0
151
SHAH ALAM, 2 Okt -- Tertuduh warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, dan warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini selepas sebutan perbicaraan hari pertama kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-nam, Februari lalu. Mereka didakwa bersama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM, 2 Okt (Bernama) — Seorang kakitangan wanita Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Kim Chol atau Kim Jong-nam, diserang dari belakang dan matanya ditutup oleh dua orang wanita dan mukanya disapu dengan sesuatu. Juliana Idris, 37, yang bekerja sebagai Duta Khidmat Pelanggan MAHB, dalam keterangannya berkata lelaki itu yang bertutur dalam bahasa Inggeris datang menemuinya di Kaunter Penerangan pada 9.10 pagi dan meminta bantuan untuk membawanya ke balai polis. Juliana yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pada pemeriksaan utama berkata melalui gambar yang dikemukakan pihak pendakwaan menunjukkan tangan mangsa kelihatan menggeletar ketika berada bersamanya, bagaimanapun saksi itu tidak pasti mengapa ia kelihatan begitu. Ditanya Wan Shaharuddin sama ada mangsa menggunakan perkataan diserang (dalam bahasa Inggeris), Juliana menjawab, Ya dia cakap ‘attack’ (diserang) oleh dua wanita dari belakang dan juga mangsa menunjukkan aksi menggosokkan mukanya menggunakan tangan. “Saya tanya dia mahu terus ke klinik atau mahu membuat laporan polis, dia memberitahu mahu membuat laporan polis. Maka saya pun bawa dia ke balai polis,” katanya sambil menambah beliau juga menyentuh lengan baju mangsa. Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, saksi kedua itu berkata dia tidak melihat muka si mati disentuh oleh sesiapa. “Saya tak pasti, tapi dia menunjukkan bagaimana wanita berkenaan sentuh mukanya, iaitu dekat dengan mata tetapi tak pasti sama ada sentuh atau tidak. Kepada soalan lain adakah saksi itu berasa mual, sakit kepala selepas bertemu mangsa, Juliana berkata tidak. Disoal peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, sama ada dia ingat apa yang mangsa cakap, Juliana berkata “Ayat penuh saya tak ingat, perkataan tertentu saya ingat. Si mati guna perkataan ‘attack’,” kata saksi. Katanya dia tidak tahu identiti si mati sehingga mangsa diserahkan kepada Lans Koperal Mohd Zulkarnain Sainudin. Penolong perubatan Klinik Menara, Rabiatul Adawiyah Mohd Sofi, pula memberitahu bahawa seorang lelaki dikenali sebagai ‘Kim Chol’ berdasarkan pasportnya, kelihatan seolah-olah terkena sawan semasa berada di klinik itu. Mangsa menundukkan kepalanya dengan air liur dan hingusnya meleleh dan kedua-dua tangannya menggeletar. “Kedua-dua mata hitamnya juga menjuling ke atas. Dia duduk di atas kerusi bersebelahan kaunter pendaftaran. Saya rasa mangsa terkena sawan kerana dia tunjukkan tanda-tanda sawan,” katanya sambil menambah ketika itu mangsa masih dalam keadaan sedar. Rabiatul Adawiyah, 23, berkata selepas itu beliau bersama dengan seorang paramedik klinik dan anggota polis yang membawa mangsa ke klinik, cuba memindahkan mangsa ke atas pengusung untuk dibawa ke bilik rawatan tetapi tidak berjaya kerana mangsa sekali lagi terkena sawan. Saksi ketiga itu berkata mangsa berjaya dibawa masuk ke dalam bilik rawatan dan Dr Nik Mohd Adzrul Ariff Raza Azlan telah memasukkan tiup pernafasan bagi membantu mangsa bernafas. Menceritakan kejadian itu, saksi itu berkata dua anggota polis telah membawa mangsa ke klinik dan mangsa mengadu sakit dan memberitahu bahawa ada seseorang telah menyembur cecair ke mukanya dan mangsa juga memegang muka dan matanya. Katanya mangsa memberitahunya dalam suara yang tersekat-sekat. “Saya lihat macam cecair di mukanya, matanya merah. Semasa dia duduk di kerusi, saya ambil tisu muka untuk lap mukanya, tetapi cecair itu keluar lagi, saya lap lagi, muka dia macam keluarkan peluh,” katanya sambil menambah ketika itu beliau tidak memakai sarung tangan. Katanya selepas doktor merawat mangsa, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya menggunakan ambulans dan semasa dalam ambulans bacaan tekanan darah mangsa tidak dapat diperoleh. Menjawab soalan Wan Shaharuddin mengapa bacaan darahnya tidak dapat diperoleh, saksi itu berkata terdapat dua kemungkinan sama ada skrin mesin tekanan darah itu mempunyai masalah atau pesakit telah mati. Ketika disoal balas oleh Gooi, saksi itu berkata peluh yang dilap daripada muka mangsa tidak mempunyai sebarang bau atau warna. Bagaimanapun ketika doktor memasukkan tiub pernafasan, saksi itu berkata beliau ada terbau busuk. Wanita itu berkata beliau membuang tisu yang digunakan untuk mengelap peluh mangsa ke dalam tong sampah, dan beberapa hari selepas itu beberapa anggota polis telah datang untuk mengambil tisu itu, bagaimanapun ia telah dibuang ke tempat sampah. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. Tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.